Jenayah -ragut
KEJADIAN ragut yang menyebabkan kematian seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Lee Khian Yip, 18, baru-baru ini, mengejutkan pelbagai pihak. Bagaimanapun, kejadian malang itu dilihat mencerminkan keadaan yang lebih besar, iaitu jenayah serius yang semakin menular di kalangan masyarakat. Sudah biasa kedengaran berlaku kejadian menyayatkan hati yang puncanya hanya kerana bertentang mata diikuti cabar-mencabar dan berakhir dengan dua pihak menggunakan senjata seperti pisau atau apa saja yang mudah dicapai seperti kerusi untuk bergaduh. Begitu juga dengan perselisihan faham kecil berakhir dengan kejadian pembunuhan. Begitu murahkah nyawa manusia hari ini?
Kerjasama masyarakat bantu tangani ragut
BH >> 18 Ogos, 2006
JENAYAH ragut kini semakin berleluasa di mana-mana saja, tidak kira di bandar mahupun di kampung. Agak sukar sebenarnya untuk membanteras jenayah ragut ini kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku dan siapa yang akan melakukannya.
Mengharapkan anggota polis saja membanterasnya amat tidak adil sama sekali. Tiada siapapun akan tahu bila jenayah ini akan berlaku. Silap hari, kita sendiri yang kena ragut walaupun kita ditanamkan sikap berhati-hati untuk mengelakkannya daripada berlaku.
Bagi penjenayah dan sesiapa saja yang gemar melakukan kejahatan, ragut adalah kerja yang paling mudah dan menguntungkan dalam sekelip mata saja. Apa tidaknya, dengan beberapa saat saja, dompet, telefon bimbit atau beg tangan boleh dilarikan peragut.
Mereka adalah golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kebanyakannya juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Cara mudah pada mereka untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah ialah meragut. Ada juga yang melakukan jenayah ragut semata-mata kerana inginkan wang lebih untuk membeli barang berharga kerana gaji yang diterima setiap bulan kecil sedangkan nafsu kebendaan mereka sangat besar.
Statistik jenayah ragut dalam enam bulan pertama tahun ini secara puratanya 26.33 kes sehari amat mengejutkan dan membimbangkan. Data ini diperoleh daripada sejumlah 4,766 kes dalam tempoh yang sama.
Jumlah ini direkodkan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa jenayah ragut. Yang tidak melaporkan kepada polis tidak dinafikan banyak juga. Kesimpulannya jenayah ini meningkat saban tahun.
Lebih menyedihkan jenayah ragut kini membabitkan pula jenayah kekerasan dan kematian. Sungguh sedih mendengar berita apabila mangsa ragut terbunuh akibat mempertahankan barang miliknya daripada diragut.
Peragut kini seolah-olah sudah dirasuk hantu apabila sanggup membunuh walaupun diketahui barang yang diragut tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Mereka seolah-olah sudah terdesak sehinggakan sanggup membunuh kerana sebuah telefon bimbit dan wang seratus ringgit.
Inilah yang terjadi kepada pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman yang terbunuh selepas ditetak dengan parang.
Semua pihak perlu memainkan peranan bagi membanteras jenayah rakus yang semakin mengganas sekarang. Mungkin pendapat ‘apa faedahnya menjaga tepi kain orang’ perlu dihakis dalam konteks memerangi jenayah ragut ini.
Kita kena prihatin dan membantu apabila berlaku jenayah ragut di depan mata kita. Mungkin ada yang berkata kita mungkin menempah maut apabila hendak membantu mangsa ragut kerana penjenayah mungkin bersenjata.
Kita boleh memberhentikan kenderaan dan membunyikan hon apabila nampak peragut sedang melakukan jenayah berkenaan. Cara ini akan membuatkan penjenayah itu tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian.
Bantuan dengan mengambil nombor kenderaan jika peragut itu menggunakan kenderaan sedikit sebanyak dapat membantu siasatan polis. Apabila ternampak kejadian berkenaan, kita boleh menjerit untuk mendapatkan perhatian orang ramai untuk sama-sama memberkas peragut itu.
SHAIFUL BAHRI SAIDIN,
Taman Harmoni, Sekinchan.
Jangan biarkan ragut menghantui kita
Oleh MARKUS LIM (WARTAWAN UTUSAN) >> 16 Ogos, 2006
SABAN hari kita dikejutkan dengan insiden ragut sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk setempat.
Ada yang mula berfikir dua kali sebelum menjejakkan kaki keluar dari rumah mereka terutamanya pada waktu malam.
Kebimbangan mereka sememangnya berasas apabila insiden ragut kini semakin menjadi-jadi di ibu kota.
Terbaru, seorang penuntut Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Lee Khian Yip, seorang jurujual wanita di Kompleks Berjaya Megamall Kuantan, Ng Chiew Lim dan pembantu jurujual dari Johor, Chang Shu Chien menjadi korban ragut oleh sekumpulan penyamun yang tidak berperikemanusiaan.
Persoalannya wajarkah Khian Yip, Chiew Lim dan Shu Chien dibunuh?
Apakah kesalahan yang dilakukan belia-belia belasan tahun itu sehingga mereka diberi layanan sedemikian?
Terlintas dalam fikiran kita apakah manusia kini semakin hilang akal dan berani melakukan apa sahaja mengikut nafsu mereka?
Di manakah sikap kasih sayang yang wujud pada diri mereka? Apa sudah jadi dengan manusia?
Mengapa manusia sanggup merogol, meragut dan membunuh? Apakah faedah yang mereka dapat melalui tindakan tidak berperikemanusiaan itu?
Dari konteks pembangunan negara, pembunuhan ke atas golongan belia seperti Khian Yip merupakan satu kerugian besar kepada negara.
Pemergian beliau dalam usia yang begitu muda, bermakna negara kehilangan sebutir permata berharga dalam menyumbang kepada pembangunan negara sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 nanti.
Peningkatan kes ragut di ibu kota sejak akhir-akhir ini turut menimbulkan kesangsian di kalangan penduduk terhadap kesungguhan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan.
Yang mendukacitakan, terdapat segelintir pihak berkuasa yang bersikap lepas tangan dalam isu ini dan hanya bertindak apabila kes-kes jenayah diberikan publisiti meluas pihak media.
Sesungguhnya, sikap hangat-hangat tahi ayam ini tidak wajar dibiarkan berleluasa kerana ia hanya memberikan imej buruk kepada kredibiliti mereka.
Apa pun, tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan tidak harus disandarkan oleh pihak tertentu sahaja.
Penduduk sendiri perlu lebih proaktif dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam membasmi kegiatan jenayah.
Janganlah bersikap acuh tak acuh kiranya anda diminta untuk memberikan maklumat penting kepada pihak polis. Beranikan diri untuk bekerjasama dengan polis.
Juga, kikiskan persepsi bahawa kejadian ragut tidak akan berlaku kepada diri anda kerana penyamun boleh menyerang tanpa memilih mangsa dan tempat.
Adalah menjadi harapan setiap pihak untuk melihat suspek-suspek yang mendalangi kes ragut yang disebutkan tadi dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpalnya.
Janganlah biarkan insiden ragut menghantui dan mengubah gaya kehidupan anda selama-lamanya.
Rakyat kena bantu polis perangi kes jenayah ragut
LAPORAN mengenai kes curi ragut yang berlaku setiap jam dalam enam bulan pertama tahun ini, iaitu secara purata 26.33 kes setiap hari amat membimbangkan. Antara kes terbaru membabitkan pelajar tahun pertama jurusan perakaunan, Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Lee Khian Yip, 19, yang maut selepas ditetak dengan parang oleh dua penjenayah yang menyamunnya tidak jauh dari stesen Putra-LRT Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam. Selang 10 minit selepas itu, seorang lagi pelajar KTAR, Pang Kha Way, 23, cedera ditetak di tangan dan kepala, di kawasan yang sama.
Kejadian membabitkan dua pelajar KTAR itu adalah antara banyak kes ragut sebelum ini yang mengakibatkan kecederaan teruk dan kehilangan nyawa. Malah kejadian yang berlaku dalam tempoh enam bulan tahun ini mengalami peningkatan iaitu 4,766 kes berbanding 4,625 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Angka ini sudah sepatutnya membuatkan sesiapa saja berasa tidak selesa kerana kita sendiri mungkin menjadi mangsa kalau tidak lebih berhati-hati. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri berkongsi kebimbangan itu apabila meminta polis meningkatkan kawalan serta mengerah anggota membuat rondaan di kawasan berisiko tinggi jenayah terutama di ibu negara.
Jenayah kes ragut kini dikategorikan sebagai jenayah rompak dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan. Polis juga sudah mengambil beberapa langkah dengan memudahkan mangsa ragut membuat laporan di semua balai polis, pondok polis dan polis peronda dengan tujuan mengatasi masalah kesukaran membuat aduan mengenai kejadian berkenaan. Namun, yang membimbangkan kita ialah peragut kini sanggup melakukan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Contoh terbaru, kes membabitkan pelajar di Wangsa Maju baru-baru ini bukan lagi dianggap kes ragut tetapi kes bunuh. Kejadian yang bermula sebagai rompakan harta benda sudah bertukar menjadi kes jenayah kekerasan selepas ia menyebabkan kecederaan dan kematian. Apakah dalam kemelut sebegini, kita selaku anggota masyarakat mampu hanya melihat tanpa mengambil tindakan?
Walaupun kita tidak boleh bertindak bersendirian, kita masih boleh menjadi mata telinga pihak berkuasa bagi membantu menangani kes yang semakin menjadi-jadi ini. Masyarakat boleh membuat aduan kepada balai polis terdekat atau menghubungi polis segera jika mereka melihat ada kelakuan orang tertentu yang boleh menimbulkan syak.
Bagi kita, adalah lebih baik menghalang sesuatu perbuatan jenayah itu sebelum ia berlaku. Kita bersetuju dengan pandangan Setiausaha Kehormat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Deputi Superintendan Mohd Haris Daud bahawa tanggungjawab membanteras jenayah termasuk curi ragut tidak seharusnya diserahkan kepada polis semata-mata. Polis tidak mungkin dapat mengatasi masalah jenayah ini sepenuhnya memandangkan wujud jurang begitu besar di antara jumlah anggota polis dengan penduduk.
Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan mencegah kejadian jenayah seperti kes ragut, rompakan, pecah rumah dan pecah kereta dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Marilah kita menjadikan angka kes ragut yang begitu tinggi itu sebagai kejutan untuk kita bersama-sama memerangi jenayah di negara kita.
Wawancara : Jiran tak peduli sekeliling punca jenayah kecil
KEJADIAN ragut yang menyebabkan kematian seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Lee Khian Yip, 18, baru-baru ini, mengejutkan pelbagai pihak. Bagaimanapun, kejadian malang itu dilihat mencerminkan keadaan yang lebih besar, iaitu jenayah serius yang semakin menular di kalangan masyarakat. Sudah biasa kedengaran berlaku kejadian menyayatkan hati yang puncanya hanya kerana bertentang mata diikuti cabar-mencabar dan berakhir dengan dua pihak menggunakan senjata seperti pisau atau apa saja yang mudah dicapai seperti kerusi untuk bergaduh. Begitu juga dengan perselisihan faham kecil berakhir dengan kejadian pembunuhan. Begitu murahkah nyawa manusia hari ini? Untuk memperkatakan isu ini, wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORAKMAH MAT YOUB menemu bual Setiausaha Eksekutif Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Deputi Superintendan Mohd Haris Daud.
Jenayah kekerasan termasuk membunuh ketika ini semakin banyak didengar membabitkan kes yang boleh dianggap kecil termasuk ragut, samun atau pergaduhan kecil. Mengapakah ini berlaku?
Memang kita lihat sejak kebelakangan ini, kejadian jenayah kecil seperti ragut dan samun hingga menyebabkan berlaku kematian. Tidak ada satu faktor yang dominan kerana ia mungkin gabungan pelbagai faktor.
Antara faktor yang mempengaruhinya ialah latar belakang penjenayah terbabit yang tidak berpendidikan atau hanya mendapat pendidikan rendah dan jauh dari keluarga menyebabkan mereka mengambil tindakan sendiri.
Saya juga melihat masalah ini berpunca akibat pengaruh materialistik, dengan gaji rendah tidak sampai RM1,000 tetapi mahu macam-macam. Kalau telefon bimbit, mesti yang ada kamera dan hendak pakaian ada jenama. Apabila pendapatan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian, mereka melakukan jenayah yang dianggap kecil-kecilan tetapi membawa padah yang tidak kurang buruk, termasuk hingga menyebabkan kematian.
Jenayah kecil-kecilan adalah perkembangan yang berbeza dengan masa lampau seperti jenayah membabitkan kongsi gelap. Penjenayah begini sebenarnya tidak mempunyai disiplin seperti anggota geng kongsi gelap yang tahu siapa dan waktu boleh bunuh mangsa. Tetapi penjenayah kecil-kecilan bertindak mengikut naluri sendiri dan kita tidak dapat menjangka tindakan mereka kerana apabila terdesak, tindakan seperti membunuh boleh berlaku.
Adakah ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat dan malangnya gejala ini semakin menular.
Apa yang berlaku sekarang tidak muncul dengan tiba-tiba. Kita perlu akur bahawa masyarakat sekarang, terutama di kawasan bandar tidak lagi sama seperti masyarakat pada 1950-an atau 1960-an.
Latar belakang mereka yang terbabit dalam jenayah menunjukkan mereka sejak kecil dibesarkan dalam suasana kurang atau tiada langsung kawalan ibu bapa. Jika sejak kecil bersikap agresif, apatah lagi apabila menjadi seorang remaja dan dewasa, kemudian bekerja dan tinggal berasingan di tempat lain. Keluarga tidak lagi mempunyai kawalan terhadap dirinya.
Suka atau tidak, masyarakat memainkan peranan sebagai pengawal tingkah laku dan ia dipraktikkan pada masa lalu. Walaupun masih wujud, tetapi saya percaya amalan ini semakin pupus ditelan zaman. Masyarakat hari ini tidak begitu mempedulikan keadaan sekeliling. Menegur kenakalan anak jiran bukan lagi kebiasaan.
Malah, interaksi antara jiran amat terhad. Mereka hidup tanpa mengenali jiran masing-masing. Kita tidak perlu melihat terlalu jauh. Cuba lihat diri kita sendiri, terlalu sibuk keluar awal pagi dan pulang lewat malam setiap hari. Ia memberi peluang kepada penjenayah mengeksploitasi kelemahan ini. Sebagai contoh, seorang penjenayah dengan mudah memecah masuk sebuah rumah kerana jirannya mungkin menyangka penjenayah saudara jirannya. Ada juga kes yang jiran tidak mempedulikan kehadiran orang tidak dikenali di kawasan itu.
Apakah dadah turut menjadi antara punca utama kes jenayah kecil-kecilan yang berbahaya.
Kita juga tidak menolak kemungkinan penjenayah begini dipengaruhi dadah. Kebanyakan dadah yang popular sekarang adalah jenis sintetik yang cara pembuatan menggunakan bahan kimia tidak berkualiti. Rangsangan dadah ini menyebabkan penggunanya hilang kawalan.
Hal ini menyebabkan YPJM sebulat suara menentang keras sebarang cadangan untuk melanjutkan masa operasi pusat hiburan hingga awal pagi seperti jam 5pagi. Kita bimbang kerana ia akan memudahkan mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah mendapatkan bahan terlarang ini.
Pihak pengedar pula akan mendapat hasil lebih lumayan sedangkan masalah sosial, termasuk kejadian jenayah menjadi lebih parah.
Walaupun kadar jenayah di beberapa negeri, termasuk Kuala Lumpur dilaporkan semakin menurun, tetapi ia adalah gambaran secara keseluruhan. Bagaimana dengan trend jenayah seperti dibincangkan ini.
Penurunan kadar jenayah di beberapa negeri seperti dilaporkan adalah perkembangan positif dan kita harap keadaan ini akan berterusan. Bagaimanapun, untuk pemahaman masyarakat, kes jenayah meliputi jenayah kekerasan, harta benda, komersial dan narkotik. Penurunan kadar jenayah yang dilaporkan adalah secara keseluruhan.
Sebagai contoh, kes curi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 17,110 kes menurun sebanyak 509 kes, berbanding 17,619 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Sehubungan itu, apabila kita memperkatakan kes jenayah seperti dibincangkan ini, ia ada sedikit pengecualian. Sebagai contoh kes jenayah curi ragut atau masyarakat kenali sebagai ragut mencatatkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 141 kes atau tiga peratus. Sebanyak 4,766 kes jenayah ragut berlaku antara Januari hingga Jun lalu, berbanding 4,625 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan kes jenayah juga boleh dilihat dari segi peningkatan kesedaran masyarakat untuk melaporkan kes jenayah kepada polis. Mungkin pada masa lalu, ada mangsa diragut, tetapi tidak melaporkan kepada polis dengan beranggapan bahawa tidak ada gunanya buat begitu kerana peragut mungkin sukar ditangkap kerana maklumat tidak mencukupi.
Sebanyak 2,269 kes atau 47.61 peratus dari 4,766 kes jenayah ragut yang dilaporkan berjaya diselesaikan.
Mengapa ada kawasan di Kuala Lumpur yang mencatatkan penurunan kes jenayah dan pada masa sama kawasan lain mencatatkan peningkatan.
Banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan sesuatu kawasan itu selamat kepada orang ramai. Ia memerlukan perancangan lebih teliti dengan mewujudkan kemudahan yang mencegah atau menyukarkan kejadian jenayah berlaku.
Antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemisahan antara laluan pejalan kaki dan jalan raya dengan cara meletakkan pagar atau palang besi. Pihak berkuasa tempatan juga boleh memanfaatkan landskap yang bukan saja untuk keindahan tetapi keselamatan. Sebagai contoh, peragut pasti sukar bertindak jika antara jalan raya dan laluan pejalan kaki dipisahkan oleh kawasan pokok, tetapi pokok itu perlu diselenggara dengan baik.
Sebab itu, sesuatu kawasan yang berisiko tinggi berlaku kejadian jenayah perlu diberi lebih perhatian seperti memasang papan tanda untuk mengingatkan orang ramai bahawa di kawasan itu pernah berlaku kejadian ragut. Begitu juga dengan kawasan laluan orang ramai seperti antara asrama pekerja kilang atau kediaman yang menjadi tumpuan pekerja ke kilang perlu diterangi cahaya lampu dan tidak dilindungi pokok.
Saya juga berharap jika kadar jenayah tinggi di sesuatu kawasan, ada pihak membuat kajian lengkap mengenai keadaan kawasan itu dari segi punca dan mekanisme untuk mencegah jenayah terus berlaku di situ. Sebagai contoh, jika hasil kajian mendapati bahawa antara jam 7 hingga 8 malam adalah waktu paling kerap kejadian jenayah berlaku, maka rondaan boleh diperhebatkan ketika waktu itu. Polis dengan pelbagai kekangan yang ada tidak mampu melakukan kajian demikian.
Peningkatan jumlah warga asing turut dikatakan menjadi punca peningkatan kejadian jenayah, termasuk ragut. Benarkah dakwaan ini.
Saya tidak menafikan pembabitan warga asing dalam kejadian jenayah di negara ini, tetapi bagaimanakah kita hendak mengenal pasti identiti seorang peragut kecuali dia ditangkap. Mereka memakai topi keledar `full face? yang melindungi wajahnya. Motosikal pula menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Saya tidak ada statistik untuk menunjukkan pembabitan warga asing dalam kes jenayah begini. Lagipun, warga asing tidak berada di semua tempat. Ada kes ragut berlaku di kawasan yang warga asing tidak ramai.
Kabinet sudah membuat keputusan bahawa polis perlu meningkatkan rondaan dan kawalan, tetapi persoalannya mampukah pihak keselamatan melakukannya sepanjang masa dan di semua tempat.
Memang agak mustahil polis untuk melakukan rondaan dan kawalan sepanjang masa dan di semua tempat. Saya percaya polis berusaha melakukan yang terbaik, tetapi jalan penyelesaian terbaik ialah masyarakat perlu bekerjasama membanteras jenayah ini.
Ia bukan hanya masalah polis, tetapi masalah masyarakat. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk perlu bekerjasama. Persatuan penduduk mempunyai peranan penting membanteras jenayah dengan mengadakan rondaan keselamatan. Malangnya ada segelintir penduduk tidak memberikan kerjasama. Mereka tidak keluar meronda pada waktu yang ditetapkan dan akhirnya rondaan berkubur.
Begitu juga apabila disuruh menyumbang antara RM30 hingga RM50 untuk bayaran kepada syarikat keselamatan untuk mengadakan rondaan, ramai juga yang liat membayar sedangkan ia adalah untuk keselamatan mereka sendiri.
Adakah ini menunjukkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk membanteras jenayah masih rendah.
Masyarakat perlu tanya apakah sumbangan yang mereka lakukan untuk mengatasi masalah ini. Suka atau tidak, masyarakat perlu membantu polis untuk mencegah kejadian jenayah terus berleluasa. Bagi pihak YPJM, antara sasaran kita ialah pada peringkat akar umbi, iaitu sekolah.
Sasaran YPJM ialah semua sekolah rendah dan menengah mempunyai Kelab Pencegahan Jenayah dan guru kelab dilatih khusus untuk mengendalikan program membanteras pada peringkat sekolah. Ia adalah sasaran jangka panjang kerana jika pada peringkat sekolah rendah sudah mempunyai kefahaman dan pengetahuan positif mengenai jenayah, mereka akan membesar sebagai warga prihatin dan peka untuk membanteras jenayah.
Ketika ini, setiap balai polis mempunyai pegawai perhubungan sekolah yang akan memantau kegiatan setiap pelajar sekolah di kawasan itu. Kita lihat sejak strategi ini dilaksanakan, sekolah yang bermasalah berjaya dikawal. Sebagai contoh, jika dulu ada pelajar menganggotai kongsi gelap, tetapi masalah ini berjaya diatasi kerana setiap masalah yang berlaku di sekolah, hubungan erat antara sekolah dan balai polis berdekatan dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
Usaha untuk mengurangkan kejadian jenayah perlu dilakukan secara berterusan. Kita tidak boleh cepat jemu. Program seperti kempen, seminar dan ceramah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat perlu dilakukan secara berterusan.
Apakah tawaran wang tunai untuk menangkap penjenayah boleh membantu menyelesaikan kes seperti yang berlaku di Wangsa Maju.
Ia bukan kali pertama dipraktikkan di negara ini. Polis dan beberapa agensi kerajaan tertentu memang menggunakan kaedah ini dalam sesetengah kes. Bagaimanapun, dalam kes di Wangsa Maju, tawaran itu dikemukakan pihak lain.
Berdasarkan pengalaman lalu, kaedah ini memang banyak membantu menyelesaikan sesetengah kes jenayah. Bagaimanapun, kita mengharapkan usaha membanteras kejadian jenayah tidak hanya bersandarkan ganjaran wang tunai. Masyarakat perlu secara sukarela memberikan maklumat kepada polis.
Bagaimanapun, keadaan belum cukup memuaskan. Keadaan ini mungkin berlaku kerana kekhuatiran masyarakat bahawa penjenayah mungkin bertindak balas terhadap diri dan keluarga menyebabkan mereka lebih rela mendiamkan diri. Begitu juga jika berlaku kejadian jenayah seperti seseorang diserang, mereka tidak peduli kerana tidak mahu terbabit dalam masalah.
Mungkin sudah sampai masanya program perlindungan saksi yang wujud di sesetengah negara diperkenalkan di negara ini supaya lebih ramai tampil ke depan untuk memberikan maklumat dengan perlindungan polis.
FAKTA
Kes ragut 2006
WANGSA MAJU - 29 Julai
Pelajar tahun pertama jurusan perakaunan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Lee Kean Yip, 18, mati akibat kecederaan kepala dan pergelangan tangan akibat ditetak dengan parang oleh dua penjenayah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di TAR Villa.
KUALA LUMPUR - 9 Julai
Seorang jurujual wanita berusia 37 tahun putus jari kelingking kiri dan menerima 18 jahitan di kepala selepas bergelut dengan peragut bersenjatakan parang di Taman Putra Indah, Seri Kembangan.
AMPANG - 27 Jun
Seorang pelajar kolej menerima lebih 70 jahitan akibat ditetak peragut di depan rumahnya di Taman Putera Sulaiman, selepas menggunakan tangan sebagai perisai mengelak tetakan bertubi-tubi.
SUBANG JAYA - 20 Jun
Seorang peragut yang cuba melarikan diri selepas meragut mangsanya, seorang eksekutif wanita yang sedang meletakkan kenderaan di luar rumahnya, maut apabila motosikal dinaiki terbabas dan merempuh penghadang jalan.
SUBANG JAYA - 19 Jun
Seorang peragut maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu merempuh tembok kecil sebelum terjatuh ketika cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan berisi wang tunai RM650 milik seorang guru, di USJ.
KUALA LUMPUR - 13 Jun
Seorang peragut bermotosikal melarikan sebuah telefon bimbit yang disangkut di pinggang seorang pegawai polis yang berpakaian biasa. Pegawai berkenaan cuba mengejar, tetapi peragut terbabit lebih pantas melarikan diri.
JOHOR BAHRU - 7 Jun
Pengurus Jualan sebuah hotel bertaraf empat bintang, cedera parah di muka selepas diragut di hadapan lobi hotel tempat kerjanya. Mangsa jatuh tersungkur apabila dua peragut yang menunggang motosikal merentap beg tangannya dari belakang.
SHAH ALAM - 17 Mac
Seorang warga emas meragut gelang kaki bernilai RM300 seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun yang didukung ibunya di sebuah pasar malam di Taman Sri Muda. Peragut terbabit ditangkap dan mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah.
KUALA LUMPUR- 20 Februari
Seorang setiausaha dan pereka grafik, masing-masing kerugian lebih RM200 selepas menjadi mangsa seorang peragut bermotosikal dalam dua kejadian berasingan di sekitar kawasan ibu kota.
AMPANG - 8 Februari
Seorang wanita parah apabila kedua-dua tangannya ditetak dua lelaki bersenjatakan parang yang meragut begnya. Kejadian itu adalah yang kelima dialaminya selepas empat kejadian sama di Petaling Jaya, Puchong dan Johor Bahru.
SUNGAI BULOH - 15 Januari
Seorang peragut maut manakala mangsa dan adiknya yang membonceng motosikal cedera apabila motosikal kedua-duanya bergesel selepas mangsa mengejarnya sejauh dua